Jumat, 17 Agustus 2012

"Gerakan Rakyat Merdeka'': Api dan cinta dari jalanan!

Salah satu kunci kepada karya yang baik ialah daya meyakinkan, yakni sang pengkarya memberi makna dan menterjemahkan sisa-sisa yang kadang terleka oleh kita, untuk melihat, menyucuk dan menekan pada luka lama yang sudah dilupakan, agar kita sedar langit masih di atas dan kaki masih di bumi. Dan pekik laung sang pengkarya ini pun ternampak oleh mata kita akan kewujudannya, tetapi jarang sekali dia mahu menonjol; lebih selesa berada di belakang menghayunkan karyanya untuk dicerna deria-deria kita.. Sang pengkarya ini ialah NikJidan, sepertimana rakyat yang tertekan dengan keparahan sistem-sistem tertentu, dia mahu berkongsi rasa agar dapat membuktikan semangat manusiawi tidak ditelan ketamakan. Beliau hamburkan melalui persalaman, didahului getar suara untuk kita akali, hadami, dan fikirkan. “…sampaikan salam di angin lalu, buat semua yang hidup, buat semua yang mati…” – Salam Tidak keterlaluan kesemua tujuh buah lagu dari album Gerakan Rakyat Merdeka ini, kalau dikatakan ia lebih dekat dengan doa berbanding ‘sebuah lagi album’ jika diperhayati. Album ketiga NikJidan Gerakan Rakyat Merdeka merupakan album ketiga NikJidan selepas album Garisan Abstrak dan Javidnamah, masing-masing dilancarkan pada tahun 2007 dan 2009. Mesejnya jelas, ayuh bangkit dari kebodohan, kebobrokkan penguasa zalim, melawan ketidakadilan dan salah guna kuasa. Berbanding dua albumnya sebelum ini, karya terbarunya ini lebih matang, lebih-lebih lagi kalau kita tahu pemuzik jalanan ini sudah pun bertemu jodohnya untuk melangkah ke alam baru berkongsi hidup bersama si-dia yang tercinta. Terilham dari celah-celah lorong sempit, yang hanyir baunya, bila malamnya dipenuhi dengan gelandangan-gelandangan bisu. Bukan bisu! Mereka cuma tidak berbuat apa-apa, tidak melampiaskan rasa muak terhadap apa yang mereka gagal kecapi. Inilah paparan realiti, paranoia dan sisi-sisi kompleks manusiawi; hadiah NikJidan kepada pendengar agar jiwarasa kita dapat merdeka dari pembodohan dan kecelaruan kata mereka di atas sana. Kemulusan NikJidan, kejayaan rakaman dan penerbitan album ini diharap dapat memberi kesedaran berdemokrasi kepada masyarakat seluruhnya pada masa yang sama beliau sangat menggalakkan penglibatan lebih ramai seniman jalanan yang lain untuk menghasilkan album. Menurutnya lagi, muzik harus dibebaskan dan berpijak di bumi yang nyata dimana seni, masyarakat dan politik adalah saling memerlukan. Dari situ akan wujud keseimbangan pada masa yang sama meluaskan lagi ruang penerimaan pendengar. Hidup di lorong dan mencari hidayah Gerakan Rakyat Merdeka merupakan bingkisan terbaik dari jalan-jalan sesak dan lorong-lorong sempit sekitar Kuala Lumpur; “Jangan malu pada anjing, kita menyalak tak mengacau, oh Francis di depan pintu kaca kami semua tertanya-tanya: Apakah kau SB atau memang benar orang gila? Namun jawabmu… Aku juga manusia” –Francis Depan Pintu Kaca Anjing apa yang dimaksudkan NikJidan? Anjing bertuan yang terkurung di dalam atau anjing sesat yang mengacau orang ramai? Tetapi tidak seperti yang taksub dengan karya sendiri, lagu ini cepat menunjukkan rasa kemanusiaan tinggi apabila sang pengkarya menonjolkan “aku juga manusia”. Ada baik, ada salah, bergantung kepada pandangan moral masyarakat. Dan melalui Bulan Tak Pernah Salah, sekali lagi, dan lebih penting terutamanya apabila kekosongan menjajah jiwa, tuhan menjadi tempat kita untuk merujuk, memberikan rasa selesa, aman dan tenang, biarlah apapun, asal tuhan ada.
“Tuhan…berikan hidayah, tetapkanlah aku mengingatimu, lebih-lebih lagi disaat aku sedang mara menjalani takdir indah ini…” Antara menunduk, ia kembali pula untuk mengingatkan pendengar akan asam garam kejahatan dalam sistem sosial ini. “…masam asam jawa boleh kau tahan, masam bau taik di tangan penjajahan, orang berteriak mencari kebenaran, namun kebenaran amat sukar dijelaskan, realistik kejam, politik hitam, rompak harta rakyat, terbukti itu haram…” – Revolusi Muzik Demokrasi dan kesatuan cinta Mungkin dengan sebuah ‘revolusi’ tidak cukup, apatah lagi jika revolusi itu membelakangi semangat demokrasi. Oleh sebab itu, NikJidan pergi lebih dalam.Lagu keenam, Demokrasi Basi tanpa bermadah mengutuk amalan pemimpin negara atas janji-janji palsu dan salah guna wang negara untuk kepentingan peribadi dengan kasar dan keras. “Lambat Lambat Lambat Lambat menunggu siang, Kejam Kejam Kejam Kejam orang menghentam. Dua Dua Dua Dua saling bercakaran, Demokrasi Demokrasi anjing kurap…. Jadi Jadi Jadi Jadilah demokrasi ini, Jadi Jadi Jadi Jadilah jangan basi auwww… Panas Panas Panas semakin panas, Caci maki gila kuasa makin menggila, Juta juta duit rakyat kuasawan songlap, Bini PM bini menteri kuatnya joli.!” Demokrasi Basi berbeza dengan lagu Wayang Fajar yang menzahirkan kesatuan cinta dengan sentuhan dalam bentuk yang cukup cocok membawa pendengar mengembara jauh ke dalam hati dan perasaan Nik secara peribadi. “Dan berdoa agar anak kita yang bakal lahir nanti menjadi orang yang berguna, yang gagah menentang ribut, lebih tegas dari api, benar katanya seperti nabi… amin… kau ucapkan… Marilah kupelukmu, biar ku cium alis matamu, benar… kita rasakan nikmatnya asmara… bulan madu itu…” Seni rakyat ‘Seni untuk rakyat’. Bukan sekadar untuk merdeka jiwa raga, album ini memotret perihal kehidupan dan moral masyarakat 360 darjah, ahli politik tidak sedikit pun terkecuali. Dengan gesekan biola, drum, gitar dan harmonika, muzik genre folk dan rock ini menggoncangkan, biarpun kita terpesona dengan bait-bait lagu dan doa yang indah. Gerakan Rakyat Merdeka harus dimiliki oleh seluruh rakyat Malaysia. Dengan lagu yang lebih ekspressif dan berkualiti, harga RM20 sudah sangat berbaloi. Semoga ia mampu memberi impak dan menjadi titik tolak kearah proses pematangan berpolitik dan perubahan corak fikir masyarakat di Malaysia kearah yang lebih baik. Untuk mendapatkan album ini, sila hubungi 0196342559 (nikjidan) sk=info Oleh: HAFIZ ZAINUDIN

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

nik jidan

nik jidan
1

kudrat

rasa

Pengikut

Arsip Blog